Keputusan Liga Futsal HTO-Pakatan Edisi Merdeka 2008

Sport Planet Kajang juara futsal Merdeka

Oleh Norman Abdullah
sukan@hmetro.com.my

PASUKAN Sport Planet Kajang tidak menghadapi banyak masalah untuk muncul juara Liga Futsal HTO-Pakatan (Persatuan Anak Kelantan) Edisi Merdeka 2008, kelmarin.

Kejohanan yang berlangsung di HTO de Futsal Subang Jaya itu menyaksikan Sport Planet Kajang yang dibarisi bekas penuntut Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan 3, Bangi, mudah mengetepikan Zie FC, 4-1 sekali gus membawa pulang wang tunai RM51,000.

Pengurus pasukan, Mohd Syahar Azizan, berkata kemenangan itu adalah pemangkin kepada pemainnya untuk lebih memberikan fokus kepada pertandingan akan datang selepas Aidilfitri nanti.

“Sukar hendak percaya apabila kami muncul juara. Saya ucapkan tahniah kepada pemain kerana berusaha keras sehingga membuahkan hasil di luar dugaan.

“Kemenangan ini ini boleh dikatakan bonus sempena Ramadan dan Aidilfitri,” katanya.

Sementara itu, Presiden Pakatan, Datuk Dr Nordin Razak, berkata beliau berpuas hati segala usaha dijalankan persatuan demi meningkatkan mutu sukan futsal dan menggalakkan golongan muda terbabit dalam sukan itu.

“Saya berharap ada antara pemain menyertai kejohanan ini akan bergelar sebagai pemain profesional dan seterusnya mengharumkan nama negara.

“Kejohanan ini dilihat landasan mengelakkan gejala tidak berfaedah terutamanya golongan muda selain merapatkan hubungan sesama mereka,” katanya.

Sumber : Harian Metro Ahad 31 Ogos 2008

No comments yet.

Leave a Reply